03/07/2026
PEMAHSYURAN PENASIHAT STRATEGIK
Dengan penuh rasa syukur dan sukacitanya, Institut Latihan Menembak Jugra Perkasa mengumumkan pelantikan DCP (B) DATO' HAJI ABDUL RAZAK BIN HAJI MOHD YUSOFF SP sebagai Penasihat Strategik Institut Latihan Menembak Jugra Perkasa.
Pelantikan ini merupakan satu penghormatan besar kepada institut dalam usaha memperkukuh hala tuju strategik, meningkatkan standard latihan serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak demi pembangunan industri latihan menembak di Malaysia.
DCP (B) DATO' HAJI ABDUL RAZAK BIN HAJI MOHD YUSOFF SP merupakan seorang tokoh yang disegani dalam bidang keselamatan negara. Beliau merupakan bekas Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang sebelum beliau bersara. Beliau memiliki pengalaman luas dalam kepimpinan, operasi serta pembangunan modal insan sepanjang perkhidmatan beliau.
Berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, beliau diyakini mampu memberikan panduan strategik, nasihat serta pandangan yang bernilai dalam memperkukuh tadbir urus institusi, meningkatkan kualiti latihan dan menyokong pembangunan komuniti menembak yang profesional, berintegriti serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang.
Seluruh warga Institut Latihan Menembak Jugra Perkasa merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada DCP (B) DATO' HAJI ABDUL RAZAK BIN HAJI MOHD YUSOFF SP atas kesudian menerima amanah sebagai Penasihat Strategik institut ini.
Semoga pelantikan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Institut Latihan Menembak Jugra Perkasa dalam melahirkan lebih ramai pengamal dan komuniti menembak yang kompeten, beretika serta bertaraf profesional, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem latihan menembak yang lebih berkualiti di Malaysia.
Tahniah dan selamat menjalankan amanah.
"Beyond The Trigger"
Cekap. Professional. Efisien