31/01/2021
Darurat tangani ancaman kesihatan
KUALA LUMPUR: Darurat yang dilaksanakan kini adalah satu yang luar biasa yang tidak pernah terjadi sebelumnya kerana ia membabitkan situasi kecemasan akibat ancaman kesihatan.
Pakar perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata, darurat kali ini berbeza dengan yang pernah dilaksanakan di negara ini yang lebih kepada ancaman keselamatan akibat kekacauan politik dan rusuhan kaum.
Katanya, jelas seperti diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa darurat ini bagi menguruskan ancaman COVID-19 walaupun ada kump**an yang menyatakan bagi menguruskan politik.
"Apa yang penting, fungsi darurat membolehkan satu-satu undang-undang itu lebih cepat dilaksanakan kerana tidak perlu melalui melalui proses biasa di Parlimen melalui bacaan pertama, kedua dan ketiga dengan proses undi serta melalui Dewan Negara sebelum dijadikan undang-undang.
"Proses menggubal undang-undang lebih cepat melalui ordinan undang-undang yang dibuat Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 150 Perlembagaan Negara," katanya sebagai panel webinar 'Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah' anjuran Yayasan Dawah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) hari ini.
Beliau menjelaskan urusan pentadbiran negara menjadi lebih cepat kerana arahan oleh satu pihak tanpa birokrasi yang mana ini akan memantapkan usaha menghadapi cabaran masa kini.
"Contohnya, situasi birokrasi dan pindaan dalam denda seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit yang menetapkan denda RM1,000 saja tetapi dengan ada ordinan undang-undang denda dinaikkan sehingga RM5 juta," katanya.
Dalam masa yang sama, darurat menjadikan sumber lebih kuat diperoleh, yang mana dengan ada ordinan undang-undang sumber hospital boleh digunakan.
Katanya, darurat juga membolehkan hukuman lebih tegas diambil dan lebih luas sumber tenaga dan penguatkuasaan dilaksanakan yang mana bukan hanya polis tetapi diperluaskan kepada tentera.
Dalam masa yang sama, Muhammad Fathi menjelaskan dengan pengisytiharan darurat mengurangkan 'politiking'.
"Awal dulu mungkin banyak dibangkitkan isu politik ini tetapi kini semakin kendur walaupun ada pihak mahu mencabar darurat ke mahkamah, maknanya di sini sekarang dalam darurat kita lebih fokus usaha menghadapi COVID-19," katanya,
Satu lagi tegas beliau darurat menjadikan keadaan lebih selamat apabila ia menyekat pilihan raya diadakan dan ini dapat mengelak risiko jangkitan.
Sumber : Berita Harian
08/01/2021
07/01/2021
06/01/2021
05/01/2021
04/01/2021
31/12/2020
30/12/2020
28/12/2020