25/08/2026
Sesi Perbincangan Persediaan Program Puitika dan Warna: Warisan Sasterawan Negara UKM
Pada 24 Ogos 2026, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Sesi Perbincangan Persediaan Program Puitika dan Warna: Warisan Sasterawan Negara UKM bertempat di Bilik Mesyuarat PKWTFH.
Sesi ini menjadi ruang perbincangan dan penyelarasan bagi memastikan persediaan program berjalan lancar, khususnya dalam memperincikan pengisian, pelaksanaan serta keperluan program yang bakal mengetengahkan warisan, karya dan sumbangan Sasterawan Negara.
Program ini diharapkan dapat menjadi wadah untuk menghayati khazanah kesusasteraan Melayu, meraikan legasi tokoh sastera serta memperkukuh apresiasi terhadap karya dan pemikiran yang membentuk landskap kesusasteraan negara.
25/08/2026
Sesi Pembentangan & Refleksi Pelajar Latihan Industri
Pada 24 Ogos 2026, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah mengadakan Sesi Pembentangan dan Refleksi Pelajar Latihan Industri, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertempat di Bilik Mesyuarat PKWTFH.
Sesi ini memberi peluang kepada para pelajar untuk membentangkan pengalaman, tugasan dan hasil pembelajaran sepanjang menjalani latihan industri, di samping berkongsi refleksi, cabaran serta pengalaman bermakna yang diperoleh sepanjang berada di PKWTFH.
Melalui sesi refleksi ini, para pelajar turut berkesempatan menilai perkembangan diri, kemahiran dan pengetahuan yang telah dibina, serta mengenal pasti pembelajaran yang boleh menjadi bekalan dalam melangkah ke alam kerjaya.
Semoga segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh menjadi kenangan bermakna serta bekalan berharga untuk terus melangkah dengan yakin dalam perjalanan kerjaya masing-masing.
25/08/2026
Sesi Penghargaan Bersama Pelajar Latihan Industri Universitas Negeri Padang, Indonesia
24 Ogos 2026 merupakan hari terakhir Sella dan Rahma menjalani latihan industri bersama keluarga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Terima kasih atas segala komitmen, kerjasama, idea dan keceriaan yang telah dikongsikan sepanjang berada bersama kami. Kehadiran kalian bukan sekadar membantu urusan di PKWTFH, tetapi turut mencipta kenangan manis yang akan kami hargai.
Semoga pengalaman sepanjang berada di PKWTFH menjadi sebahagian daripada perjalanan yang bermakna, dan semoga kalian terus melangkah dengan yakin dalam mengejar impian serta cita-cita.
Selamat maju jaya, Sella & Rahma! Terima kasih atas segala kenangan sepanjang bersama kami di PKWTFH. Semoga silaturahim yang terjalin terus berkekalan.
24/08/2026
Pada 21 Ogos 2026, warga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM telah menerima kunjungan rombongan tenaga pengajar bidang Psikologi, Universitas Negeri Padang (UNP) bagi sesi penyeliaan pelajar latihan industri.
Sesi dimulakan dengan agenda utama iaitu penyeliaan pelajar bagi memantau perkembangan serta prestasi mereka sepanjang menjalani latihan industri di PKWTFH.
Sebagai tirai penutup, para tetamu dibawa melawat ke Galeri Tun Fatimah Hashim bagi mengenali dengan lebih dekat latar belakang serta legasi perjuangan Allahyarhamah Tun fatimah Hashim.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak UNP atas jalinan kolaborasi serta kunjungan ini.
24/08/2026
SEKALUNG TAHNIAH
Seluruh warga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dr. Emma Mirza Wati Mohamad (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK) di atas kenaikan pangkat sebagai Profesor VK7 di Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION).
Semoga pencapaian yang cemerlang ini terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademik, khususnya dalam memperkasa kepimpinan wanita di arena pendidikan tinggi negara.
24/08/2026
Seluruh warga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM mengucapkan Selamat Memperingati Maulidur Rasul SAW, 25 Ogos 2026 bersamaan 12 Rabiul Awal 1448H.
Maulidur Rasul mengajak kita kembali menghayati teladan kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan amanah, hikmah, ihsan, keadilan dan kepedulian terhadap masyarakat.
Nilai-nilai murni ini menjadi asas dalam membentuk kepimpinan yang inklusif dan berimpak, termasuk dalam usaha memperkasa kepimpinan wanita di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Semoga semangat dan akhlak kepimpinan Rasulullah SAW terus menjadi inspirasi dalam melahirkan pemimpin yang berintegriti, berempati dan membawa manfaat kepada masyarakat, di samping terus memperkukuh peranan wanita sebagai pemimpin dan agen perubahan.
“Madani Dihayati, Ummah Diberkati.”