04/09/2026
YEZZA!!!!
3 pendakian dalam "Georgia Great Trek V1" bersama keluarga pendaki Monmaria baru sahaja selesai.
Misi pertama kami ialah pendakian 3 hari 2 malam dari Juta ke Roshka (30 Aug - 1 Sep 2026).
Hari pertama, diawalnya kami disajikan dengan langit cerah, tetapi tidak berpanjangan.
Menuju ke Tasik Chauki, hujan renyai-renyai menemani kami.
Sebaik tiba di Tasik Chauki, hujan berhenti, matahari mula keluar semula dan Gunung Chauki memperlihatkan kemegahannnya.
Kami berehat lama di Tasik Chauki sebelum bergerak naik ke tapak perkhemahan yang lebih tenang.
Menjelang senja, hujan kembali lagi dan udara mula menjadi sejuk.
Tidur malam kami agak mencabar bilamana dingin malam menyucuk sampai ke tulang.
Hari kedua kami bermula sedikit lewat, mengharapkan hujan berhenti dan sang matahari keluar memanaskan udara.
Tetapi nasib tidak menyebelahi kami.
Kami mendaki naik ke "Chauki Pass" 3341m dalam keadaan hujan renyai-renyai yang tak berhenti. Kadang kala tiupan angin datang membuatkan badan menggigil.
Kami berhenti makan tengah hari di "waterpoint" terakhir. Pasta tuna dan air panas menjadi alas perut sebelum menyeberangi Chauki Pass.
Di cerun memacak ini, abang Zamani kelihatan lemah tak bertenaga, mual dan beberapa kali muntah, kesan dari altitud tinggi dan cuaca sejuk.
Kira-kira jam menghampiri 3 petang, kami tiba di Chauki Pass. Tidak berhenti lama, sekadar mengambil 2-3 gambar dan kami terus bergerak turun kerana cuaca yang sejuk.
Pergerakan turun sedikit mencabar buat Iman, kerana laluan yang kecil dan curam membuatkan dia sedikit gayat. Kami cuba membantu dia sebaik yang boleh.
Abang Zamani mula bergerak turun laju dan AMS semakin berkurang, mungkin kesan ubat yang diambil.
Perjalanan turun ke Tasik Abudelauri mengambil masa hampir 3 jam walaupun kelihatan dekat di mata.
Selepas melalui Tasik Abudelauri Biru dan Hijau, kami terus turun ke arah Abudelauri Hut. Kami memilih untuk berkhemah di kawasan yang lebih rendah dan bersebelahan dengan sumber air.
Kami tak nak kesejukan di malam kedua ini.
Hari ketiga kami bergerak seawal 7:30 pagi.
Kami memilih laluan pendek dan terus ke jalan besar. Risau jika memilih laluan dalam kerana kami yakin banyak kawasan yang berselut selepas beberapa hari hujan.
Sedangkan tahun lepas, walaupun cuaca terik, masih perlu melalui kawasan selut yang luas.
Kira-kira jam 9:45 pagi kami tiba di Roshka. Jam 10 pagi ayah Vano tiba untuk membawa kami pulang ke Stepansminda.
Perjalanan ke Stepansminda mengambil masa lebih dari 4 jam.