25/09/2026
LAPORAN - KEDAH BANGKIT IKAT KELANTAN CITY FC DI ALOR SETAR.
Strategi bertahan yang diterapkan Kelantan City Football Club pada separuh masa kedua hampir memakan diri apabila skuad The Blue Fighters diasak bertali arus sebelum terikat 1-1 dengan Kedah FA dalam aksi Liga A1 Semi-Pro 2026/27 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Perlawanan bermula seimbang dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. Cubaan pertama hadir pada minit ke-10 apabila gandingan Aiman Afif dan Danial Tarmizi memaksa Fikri Che Soh merebahkan badan untuk menyelamatkan gawangnya.
Selepas itu, giliran Kelantan City menguji gawang Kedah FA menerusi dua rembatan Asraff Aliffuddin yang tepat ke dakapan V. Rajendran.
Ketika tuan rumah rancak menyerang, skuad kendalian Alfredo Gonzalez mengambil kesempatan melakukan satu serangan balas pada minit ke-31 untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi Ahmad Nazri.
Jaringan itu berpunca daripada kesilapan pemain Kedah FA yang membolehkan Fazli Ghazali melakukan hantaran rendah ke depan gawang sebelum disempurnakan dengan tampanan mudah oleh Nazri yang tidak dikawal.
Gol tersebut mengejutkan Kedah FA sehingga memaksa Akmal Rizal beberapa kali bangun memberi arahan agar anak buahnya lebih agresif dalam usaha mencari jaringan penyamaan.
Memasuki babak kedua, Alfredo Gonzalez membuat dua pertukaran awal dengan memasukkan Hakimi Abdullah dan Hadin Azman. Bagaimanapun, Kelantan City dilihat lebih banyak bertahan dan memberi ruang kepada Kedah FA untuk menguasai permainan serta melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu mereka.
Percubaan Kedah FA pada minit ke-47 hampir merobek gawang Kelantan City apabila sepakan pertama Danial Tarmizi dihadang Wan Amirul Afiq sebelum rembatan susulan Aiman Afif hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.
Rembatan Rahmat Makasuf selepas menerima lorongan Anthony Arthur pada minit ke-57 p**a terkena tiang luar untuk melegakan kem pelawat.
Kemasukan Jasmir Mehat dan Irdzuwan Daud menjadikan benteng Kelantan City semakin tertekan apabila terus menerima asakan demi asakan daripada Kedah FA.
Walaupun berjaya melancarkan beberapa gerakan balas menerusi sepakan percuma Asraff Aliffuddin yang tersasar pada minit ke-66 serta rembatan Emmanuel Ikechukwu yang melencong keluar tiga minit kemudian, ketangkasan Fikri Che Soh menepis sepakan Irdzuwan Daud pada minit ke-71 berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Asakan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Jasmir Mehat menyamakan kedudukan pada minit ke-74 selepas sepakan keluar Syaahir Saiful Nizam tertampan sebelum disudahkan dengan rembatan voli oleh pemain gantian Kedah FA itu.
Selepas jaringan tersebut, Kedah FA terus menekan apabila menghasilkan dua lagi cubaan berbahaya menerusi tandukan tidak dicabar Irdzuwan Daud yang tersasar serta sepakan kaki kiri Anthony Arthur yang sedikit melepasi palang pada minit ke-88.
Pada minit ketiga masa tambahan, Fikri Che Soh pantas merebahkan badan ke sebelah kiri gawangnya untuk menangkap kemas cubaan jarak dekat Shahmeer Rusli sekali gus memastikan aksi 90 minit di Alor Setar berakhir dengan keputusan seri 1-1..
KESEBELASAN UTAMA :
KEDAH FA - V. RAJENDRAN [PG], KAMIL AKMAL, ASNAN AHMAD [KP], ANTHONY ARTHUR, AIMAN FARHAN, AIMAN AFIF, DANIAL TARMIZI, RAHMAT MAKASUF, AFEEQ IKMAL, AQIL IRFANUDDIN DAN IBRAHIMA BARRY.
KELANTAN CITY FC - FIKRI CHE SOH [PG], AHMAD NAZRI, ABDALLAH DANDY, WAN AMIRUL AFIQ, WAN ZAHARUL NIZAM [KP], ASRAFF ALIFFUDDIN, EMMANUEL IKECHUKWU, ABDOUL AZIZ DOUMBIA, FAZLI GHAZALI, SYAAHIR SAIFUL NIZAM DAN AHMAD AZRAF.
Berita Kelantan United Football Club
Foto Persatuan Bola Sepak Kedah