18/11/2022
Selamat pagi semua...
Jangan lupa untuk mengguna pakai kuota 20 undian anda hari ni!
https://www.hmetro.com.my/AIS/undian
Teruskan undi setiap hari sehingga ahad ini, 20 November 2022.. 😎👍
09/03/2022
SKUAD WANITA KE HANOI?
NAMPAKNYA skuad wanita bolasepak negara tidak akan dihantar menyertai kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi Mei ini.
Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia berikutan kos untuk menghantar mereka ke sana menelan belanja RM400,000 hanya untuk dua perlawanan peringkat kump**an.
Malah kemungkinan akan dibelasah juga menjadi faktor utama FAM enggan menghantar skuad tersebut dan perkara tersebut diakui sendiri Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.
Lebih menggentarkan, pasukan-pasukan seperti Thailand, Vietnam dan Filipina memiliki pasukan yang lebih kuat dan sentiasa memburu pingat dalam apa jua kejohanan disertai.
Ketiga-tiga pasukan itu juga bukanlah calang-calang kerana memiliki pemain dan skuad yang mampu beraksi di Piala Dunia Wanita.
Sementara itu, walaupun RM400,000 itu meliputi perkara berkaitan pengangkutan, penginapan, makanan, elaun pemain dan sebagainya sepanjang temasya tersebut berlangsung namun ia masih dianggap tidak relevan dengan keupayaan skuad wanita negara.
Datuk Suraya bagaimanapun, menjawab perkara itu selepas ramai pihak mempersoalkan skuad wanita negara yang bagai dianak tirikan kerana tidak dihantar bertanding di temasya dwi tahunan tersebut.
03/03/2022
LIRIDON 'RAJA GELECEK' ?
NAMPAKNYA gelaran Raja Gelecek yang diberikan kepqda Liridon Krasniqi semasa Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22 mendapat komen negatif daripada segelintir peminat sukan bola sepak.
Apa tidaknya, bagi mereka Liridon tidak layak memegang gelaran itu ekoran prestasi pemain itu sangat mengecewakan sepanjang bersama skuad kebangsaan.
Liridon menerima gelaran tersebut berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL pada 24 Februari lalu.
Dikatakan pemain naturalisasi Harimau Malaya itu memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu
28/02/2022
PIALA ASIA 2023 TINGKAT EKONOMI TEMPATAN
PENINGKATAN kes Covid-19 bukan alasan mengapa Piala Asia 2023 tidak boleh diteruskan di negara ini.
Malah, kesempatan menjadi tuan rumah kali ini merupakan peluang paling cerah buat Malaysia daripada dua perspektif.
Daripada sudut utama, pasukan Harimau Malaya akan memiliki kelebihan dengan bermain di halaman dan hadapan penyokong sendiri sekalipun kerajaan mengenakan had penonton.
Dari sudut kedua p**a, sudah pasti ia mampu merancakkan semula kegiatan ekonomi.
Ia juga sekaligus membantu industri bola sepak tempatan menjana perolehan termasuk untuk kegiatan arus perdana seperti pengiklanan, hak siaran antarabangsa, penjualan tiket serta industri hiliran seperti pelancongan dan perniagaan kecil.
Menurut Pensyarah Kanan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) wajar menjadikan saingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun nanti sebagai uji kaji bagi melihat kemampuan penganjuran tenaga kerja tempatan dalam merancakkan semula industri sukan negara.
20/02/2022
HANYA YANG TERBAIK! - PAN GON
NAMPAKNYA tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana pemain yang akan menyertai skuad Harimau Malaya.
Kenyataan tersebut diberitahu Ketua Jurulatih skuad bolasepak kebangsaan Kim Pan-Gon kerana hanya yang terbaik menjadi pilihannya.
Beliau menegaskan perkara itu semasa mengulas mengenai barisan pemain yang layak ke Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.
Jelasnya, siapapun pemain itu sama ada pemain tempatan, kacukan atau naturalisasi, tiada yang mendapat layanan istimewa dan hanya yang terbaik akan terpilih.
Malah, dia dan barisan kejurulatihannya akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan.
Sementara itu, media arus perdana, online dan portal hari ini menjadikan kenyataan Kim Pan Gon sebagai berita utama daripada sudut berbeza.
Sehinggakan ada netizen yang menyelar kewibawaannya yang meletakkan sasaran terlalu tinggi.
Bagaimanapun, masih ada sebahagian besar penyokong memberi sokongan dengan mengatakan Pan Gon harus diberi peluang.
Secara keseluruhan komen-komen penyokong dan laporan media adalah positif tetapi, mereka hanya mahu mengingatkan untuk kejurulatihan kali ini jangan ada tangan ghaib.
Pada masa sama, mereka berharap tiada campur tangan FAM khususnya melibatkan pemilihan jurulatih tempatan.
16/02/2022
ELAVARASAN JADI PILIHAN ?
PERSOALAN demi persoalan mengenai siapakan yang bakal mengisi kekosongan jawatan sebagai pembantu kepada pengendali Harimau Malaya (HM), Kim Pan-gon akan terjawab.
Dikatakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuat pengumuman rasmi bagi meleraikan persoalan itu dalam masa terdekat.
Menurut sumber, berkemungkinan besar ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan antara yang terpilih selepas hanya namanya dikekalkan berbanding sebelum ini enam nama disenaraikan.
Disebabkan itu, sejak semalam beberapa media telahpun menyiarkan desas-desus ini dan melaporkan Elavarasan adalah individu palng layak.
Pada masa sama turut dinyatakan individu terbabit adalah jurulatih pasukan Liga Super.
16/02/2022
Berikut jadual perlawanan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2022 membabitkan Melaka United FC.
Melaka United FC akan memulakan saingan liga musim ini dengan dua perlawanan di tempat lawan (Away) bermula dengan pertemuan menentang PJ City FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Sabtu, 5 Mac sebelum berdepan Penang FC di Georgetown, tiga hari kemudian.
13/02/2022
SAYA PERLUKAN 2 TAHUN LAGI - HAMIDIN
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih kembali rentetan wabak Covid-19 yang melanda negara.
Ujar beliau, tempoh dua tahun terdahulu sangat mendukacitakan FAM selepas berhadapan pelbagai kesulitan.
Tidak hanya prestasi skuad Harimau Malaya merundum, malah pihaknya mengalami kerugian puluhan juta ringgit berikutan penaja lari dan tiada hasil daripada perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.
Katanya, lebih buruk apabila ada penaja menarik diri sekaligus menjejaskan peruntukan kepada badan induk itu.
"Tahun 2020 dan 2021 menyaksikan liku-liku sungguh perit kerana tiada sebarang kutipan diterima disebabkan perlawanan tidak boleh dianjurkan.
"Justeru, tahun ini pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan kembali situasi ini dan saya optimis ia akan berjaya jika semuanya positif," katanya berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan keyakinan penaja khususnya.
Dilaporkan, FAM mengalami kerugian lebih RM30 juta sekitar 2020 berikutan pembatalan perlawanan selain penarikan diri penaja.
Situasi sama berlaku tahun lalu sehingga mengakibatkan FAM memerlukan tempoh panjang untuk kembalikan kemampuan pihaknya seperti sedia kala.
12/02/2022
PELUANG TERBAIK SKUAD B23
PASTINYA berita menggembirakan buat skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan untuk beraksi di separuh akhir Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Kemboja.
Apa tidaknya, peluang tersebut bagaikan memanggil-manggil selepas pasukan Indonesia mengambil keputusan menarik diri.
Keputusan dibuat Indonesia yang pernah bergelar juara edisi 2019 itu sekaligus menyaksikan skuad bimbingan Brad Maloney hanya akan berdepan dua perlawanan bagi saingan Kump**an B.
Mereka bakal menentang Myanmar pada Selasa ini dan Laos (18 Februari) di Stadium Prince, Phnom Penh.
Justeru, skuad kebangsaan ini disebut-sebut untuk bergelar juara kump**an dan sekali gus melangkah ke separuh akhir serta berpotensi ke final.
Sementara itu, beberapa analisis dilakukan selepas penarikan Indonesia semalam dan media turut mengambil kira kenyataan dibuat Presiden FAM Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang mahukan pemain memberikan persembahan terbaik.
11/02/2022
HILANG 4 PEMAIN?
SATU tamparan hebat bagi Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila kehilangan empat pemain mereka.
Dikatakan seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan pantas (RTK) Antigen dilakukan kelmarin.
Berita tersebut adalah benar selepas pengendali negara, Brad Maloney mengesahkannya.
Malah menurut beliau, situasi tersebut menyebabkan mereka kelam kabut lebih-lebih lagi Safwan Mazlan dari Terengganu FC sudah diarahkan untuk dikuarantin, manakala tiga lagi pemain sudah p**ang ke JDT.
Terdahulu media mengambil peluang bertanyakan kepada Brad mengenai desas desus pemain positif.
Pun begitu, bagi Brad situasi ini masih mampu ditangani dan tidak mencemaskan kerana sememangnya menjadi protokol untuk membuat pemeriksaan RTK dalam kalangan pemain bagi menyekat penularan jangkitan.
Pada masa sama, netizen tetap mempersoalkan mengapa pemain JDT p**ang dan dikatakan mereka dipanggil balik bukan disebabkan kena 'drop'.
10/02/2022
PILIH PEMBANTU DARI BARCELONA?
SKUAD Harimau Malaya dijangka bakal menyerap jurulatih dari kelab gergasi La Liga Barcelona bagi menyertai barisan kejurulatihan negara atau lebih tepat sebagai pembantu Kim Pan-Gon.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Jika diimbas, desas-desus pembantu Pan-Gon mula rancak diperkatakan selepas beliau dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan awal bulan lalu.
Malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri tidak membuat keputusan sehingga hari ini memandangkan ketua jurulatih kebangsaan itu diberi kebebasan sepenuhnya memilih pembantu sama ada dalam kalangan jurulatih luar mahupun dalam negara.
Sementara itu, spekulasi mengenai pembantu jurulatih ini dilaporkan Setiausaha Agung FAM, bahawa nama-nama yang sedang berlegar di media sosial itu betul tetapi akan diumumkan secara rasmi oleh FAM selepas KPG tamat kuarantin nanti.
07/02/2022
TAPIS SENARIO BOLOT PEMAIN
PASTINYA sesuatu yang membanggakan apabila ketiga-tiga pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dibeli kelab Liga Malaysia.
Bagaimanapun, wujud persaingan tidak sihat apabila ada kelab handalan yang sanggup memborong pemain tersebut untuk diletakkan ke skuad pembangunan.
Tindakan itu sekaligus menjejaskan peluang graduan terlibat beraksi di pentas Liga Super atau Perdana.
Misalnya, daripada 44 graduan terbaharu, Selangor FC membolot 20 pemain, diikuti Sri Pahang FC (10), Johor Darul Ta'zim (enam) dan masing-masing empat pemain untuk Terengganu FC dan Kuala Lumpur City.
Perkara ini diakui pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin.
Menurut beliau, semua graduan AMD wajar diagihkan sama rata untuk semua kelab di Liga Super dan Liga Perdana supaya potensi dan bakat pemain dapat berkembang.
Ini kerana senario sama pernah berlaku yang mana akan ada satu atau dua kelab yang membolot pemain bagi kepentingan tertentu.
Justuru, pemerhati sukan mahukan sistem ini dikaji semula kerana bimbang tidak ramai pemain akan mendapat minit perlawanan.