21/08/2026
KENYATAAN MEDIA
TAMRIN TEGAS: PROGRAM PEMBANGUNAN DIRI MESTI SELARI DENGAN AKIDAH DAN SYARIAH
Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) mengambil perhatian terhadap penganjuran program atau kursus pembangunan diri yang menggunakan numerologi, tarikh lahir atau nombor tertentu untuk mengenal pasti personaliti, potensi, nasib atau masa depan seseorang.
TAMRIN ingin menegaskan bahawa pembangunan potensi diri seorang Muslim tidak seharusnya dibina atas kaedah tilikan, ramalan atau kepercayaan terhadap nombor dan tarikh tertentu.
TARIKH LAHIR BUKAN ALAT UNTUK MENILIK DIRI
Tarikh lahir ialah sekadar maklumat tentang bila seseorang dilahirkan. Ia bukan ukuran mutlak kepada karakter, rezeki, jodoh, kejayaan, nasib atau masa depan seseorang.
Dalam Islam, perkara ghaib adalah hak mutlak Allah SWT.
“Katakanlah: Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.”
(Surah Al-Naml: 65)
Jabatan M***i Wilayah Persekutuan melalui Al-Afkar #12: Percaya Ramalan Berdasarkan Nombor, Tarikh Lahir Melalui Ilmu Metafizik telah menjelaskan bahawa mempercayai sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa di sisi Islam.
M***i WP juga merujuk kepada garis panduan program motivasi berunsur Islam yang melarang kaedah seperti numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, astrologi dan kaedah seumpamanya.
ISLAM TIDAK MENGAJAR KITA MENILAI MANUSIA MELALUI TILIKAN TARIKH
*Kita perlu berhati-hati apabila sesuatu kaedah dibungkus dengan istilah seperti:*
"Nombor Fitrah Diri"
“Kenali Potensi Diri”
“Rahsia Personaliti”
“Baca Karakter Melalui Tarikh Lahir”
“Formula Nombor Kehidupan”
“Matrix Diri”
Jika kaedah tersebut menggunakan tarikh lahir atau nombor tertentu untuk membuat ramalan atau menentukan sifat dan perjalanan hidup seseorang, maka ia bukan lagi sekadar aktiviti pembangunan diri yang neutral.
Jangan kerana mahu mengenali diri, kita menggunakan kaedah yang boleh menjejaskan kefahaman akidah.
Potensi seseorang boleh dikenal pasti melalui ilmu psikologi, pemerhatian, pengalaman, kemahiran, kecenderungan, penilaian kompetensi dan kaedah pembangunan diri yang sahih bukan melalui tilikan nombor atau tarikh lahir.
TAMRIN MENYERU AGAR PROGRAM MUSLIM BENAR-BENAR MESRA ISLAM
TAMRIN berpandangan bahawa setiap program latihan, motivasi, pembangunan modal insan dan pembangunan potensi diri yang ditawarkan kepada masyarakat Muslim perlu mengambil kira akidah, syariah dan akhlak.
Label “Islamik”, “Muslim”, “patuh syariah” atau “mesra Islam” tidak seharusnya sekadar pada nama program. Kandungan dan kaedah penyampaian juga mesti selari dengan prinsip Islam.
TAMRIN menyeru:
Jika mahu membangunkan manusia, bina dengan ilmu.
Jika mahu mengenal potensi, gunakan kaedah yang sahih.
Jika mahu mencari masa depan, bina dengan usaha, doa dan tawakal.
Jangan gantikan semua itu dengan tilikan nombor dan tarikh lahir.
TAMRIN juga menggalakkan masyarakat supaya meneliti kandungan sesuatu kursus sebelum mendaftar, khususnya apabila ia melibatkan numerologi, astrologi, ramalan, metafizik atau kaedah yang mendakwa mampu menentukan karakter dan masa depan seseorang berdasarkan tarikh lahir atau nombor tertentu.
PENDIRIAN TAMRIN
TAMRIN akan terus menyokong dan menggalakkan penganjuran latihan yang:
✓ Berasaskan ilmu dan fakta
✓ Membina potensi manusia secara profesional
✓ Menjaga akidah dan syariah
✓Memartabatkan akhlak dan nilai Islam
✓ Tidak menggunakan kaedah tilikan atau ramalan
✓ Benar-benar Mesra Islam
Kita mahu melahirkan manusia yang mengenal dirinya melalui ilmu, bukan melalui tilikan.
Kita mahu membina masa depan dengan ikhtiar dan tawakal, bukan dengan ramalan.
Itulah tanggungjawab kita dalam membangunkan masyarakat Muslim yang berilmu, berakhlak dan teguh akidahnya.
UNTUK MAKLUMAN
Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN)
Shamsuddin Kadir
Presiden TAMRIN
21 Ogos 2026
Salam Jumaat.
15/04/2026
AJK TAMRIN bersama para penyelaras TAMRIN negeri merakam memori bersama penasihat kehormat TAMRIN Dato Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. Terima kasih Tok Abah kerana bersabar dengan kami 😁
15/04/2026
Ahli Jawatankuasa TAMRIN 2026 - 2028 bergambar bersama penasihat kehormat TAMRIN Dato Haji Dr. Mohd Fadzilah Kamsah
15/04/2026
Semua hadirin mencipta memori bersama Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. Pihak TAMRIN mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian Dato menghadiri majlis anjuran kami. Terima kasih buat semua hadirin yang hadir dari seluruh Malaysia kerana memeriahkan majlis kami ini.
15/04/2026
Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof Albasuti penasihat TAMRIN baru sampai ke majlis hari raya TAMRIN. Bergambar bersama penasihat kehormat Dato Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
15/04/2026
Ada sahabat trainer dan penceramah yang datang dari Terengganu, bertolak ke Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi untuk hadir ke majlis hari ini
15/04/2026
Kemeriahan Majlis Hi Tea Raya TAMRIN mula terasa dengan kehadiran VVIP Dato Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. Para trainer dari seluruh pelosok Malaysia hadir memeriahkan majlis.
08/04/2026
Potluck Raya Tamrin Negeri Sembilan
8 April 2026, Seremban. Tahniah buat Sahabat Tamrin Negeri Sembilan kerana telah menganjurkan satu sesi networking, sembang santai, perbincangan isu industri dan makan makan potluck raya.
Alhamdulillah acara sederhana ini dihadiri Tuan Presiden Shamsuddin Kadir, Tuan Setiausaha Agung Che Mat Mohamad Bin Mohshin, Exco Pembangunan Ahli Ustaz Ahmad Asri, Exco Kesejahteraan Ahli Ustaz Pencetus Ummah Izzat dan dihost kan oleh Tuan Penyelaras Tamrin Negeri Sembilan Ustaz Affenddy Mohamad.
Majis dihadiri hampir 20 orang sahabat Tamrin dari seluruh Negeri Sembilan. Terima kasih di atas kehadiran dan sumbang saran idea dan pengalaman. Semoga ini membantu semua ahli meningkatkan produktiviti dan khidmat pada masyarakat.
Insyaallah jamuan raya Tamrin di negeri-negeri lain juga akan menyusul.
04/04/2026
Majlis HiTea Raya Tamrin 2026.
Terima kasih banyak yang telah mendaftar. Pendaftaran penuh dengan kapasiti 55 orang kehadiran. Alhamdulillah.
Tahniah yang telah mendaftar.
19/03/2026
KENYATAAN MEDIA RASMI
PERTUBUHAN PERUNDING LATIHAN DAN MOTIVASI MUSLIM MALAYSIA (TAMRIN)
ISU KETIDAKTENTUAN GLOBAL & KELANGSUNGAN SUMBER PENDAPATAN JURULATIH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam inspirasi, Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) mengambil maklum kebimbangan dalam kalangan jurulatih dan motivator berhubung perkembangan konflik di Asia Barat serta potensi kesannya terhadap ekonomi global dan tempatan, Insyaa Allah. TAMRIN memahami bahawa pengalaman pandemik COVID-19 masih memberi kesan mendalam kepada ramai dalam industri ini, khususnya dari sudut ketidakstabilan sumber pendapatan, kesinambungan program latihan, dan kelansungan operasi. Sehubungan itu, TAMRIN ingin menegaskan bahawa situasi semasa tidak perlu dihadapi dengan panik, sebaliknya memerlukan ketenangan, disiplin kewangan dan tindakan strategik Insyaa Allah.
SERUAN TAMRIN KEPADA TRAINER & MOTIVATOR
1. Disiplin Kewangan
Elakkan pembaziran dan utamakan aliran tunai bagi memastikan kelangsungan operasi.
2. Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Jangan bergantung kepada satu punca. Aktifkan latihan online, modul rakaman, coaching serta kerjasama strategik.
3. Kuasai Platform Digital dan Ai
Penguasaan digital dan AI adalah keperluan, bukan lagi pilihan.
4. Kuatkan Jaringan Komuniti
Jangan bersendirian. Kekuatan sebenar ada pada jaringan dan kolaborasi. Sertai komuniti Sahabat TAMRIN (Scan Qr Code untuk menyertai Whatapps Group Sahabat TAMRIN)
5. Bertindak Berdasarkan Fakta
Elakkan panik akibat spekulasi. Rujuk sumber maklumat yang sahih.
PENDIRIAN TAMRIN
Kami ini trainer dan motivator. Peranan kami bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina kekuatan manusia ketika dunia tidak stabil. Dalam situasi mencabar, trainer dan penceramah perlu tampil sebagai:
• Pembina daya tahan masyarakat
• Penyelesai masalah
• Agen perubahan yang tenang dan strategik
• Krisis bukan alasan untuk berhenti, tetapi isyarat untuk berubah dan bangkit lebih kuat.
SERUAN KEPADA PIHAK KERAJAAN
TAMRIN turut menyeru agar pihak kerajaan tidak terlepas pandang peranan serta kelansungan komuniti trainer dan speaker dalam merangka langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa. Industri latihan dan pembangunan insan adalah komponen penting dalam membina daya tahan rakyat. Justeru, sokongan berstruktur, peluang kolaborasi, serta akses kepada inisiatif pemerkasaan perlu turut merangkumi golongan ini agar mereka terus berfungsi sebagai pemangkin kekuatan masyarakat.
PENUTUP
TAMRIN komited untuk terus menyokong ahli, membuka ruang kolaborasi dan memperkasa trainer dan penceramah dengan kemahiran masa depan. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di dunia, tetapi kita boleh mengawal tindakan kita. Tenang. Bersedia. Bertindak. Mudah-mudahan kenyataan ini memberi sedikit kelegaan dan ketenangan kepada seluruh sahabat TAMRIN. Ya Allah, kurniakan kami ketenangan dalam menghadapi ujian, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, dan rezeki yang luas serta berkat. Satukan hati kami, kuatkan langkah kami, dan jadikan kami asbab kebaikan kepada masyarakat.
Amin, ya Rabbal ‘alamin.
Sekian, terima kasih sungguh-sungguh
Yang Ikhlas,
Shamsuddin Kadir
Presiden
Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN)
2026-2028
19 Mac 2026/ 29 Ramadhan 1447 Hijrah