24/09/2026
"Seringgit pun tak ada caj", Bapa Mikhail Kongsi Sokongan Kerajaan Negeri Bantu Pelumba Muda Training Di Litar Gong Badak
KUALA TERENGGANU: Bapa kepada pelumba cilik A***n Mikhail, Wan Mohd Khaidzir Wan Mohd memuji kemudahan Litar Permotoran Gong Badak yang boleh digunakan sepenuhnya tanpa sebarang caj, memberi kelebihan besar kepada pelumba muda Terengganu untuk berlatih secara konsisten.
Menurut Mohd Khaidzir, berbeza dengan negeri lain yang mengenakan sewaan trek sehingga RM200 sehari, pelumba di Terengganu boleh menggunakan akses trek Gong Badak bila-bila masa kecuali ada program berjadual, tanpa dikenakan sebarang caj.
Selain trek, Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan 'paddock' untuk pelumba menempatkan motosikal semasa latihan, membolehkan pelumba terus berlatih selepas sekolah tanpa memerlukan pengangkutan khas seperti van.
Beliau turut memaklumkan sokongan kewangan turut disalurkan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, khususnya bagi yuran penyertaan pertandingan.
Sementara itu, ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan kepada anak-anak Terengganu untuk berjaya dalam bidang sukan, khususnya sukan permotoran yang menjadi fokus utama negeri.
A***n Mikhail, 12, mula menunggang Moto Mini seawal usia lima tahun sebelum bertanding secara kompetitif pada usia lapan tahun. Dalam dua kejohanan terbaharu, beliau menamatkan saingan kategori 160cc di tempat ketiga pada Ohvale Guangzhou Supercup 2026 (Ogos) dan Kejuaraan MotoMini Malaysia 2026 (22 September).