25/08/2026
Tok Dekor Terengganu
Wadah penyatuan institusi persilatan Melayu di bumi Terengganu Darul Iman.
25/08/2026
15/08/2026
Mendaulatkan Warisan, Eratkan Silaturahim: Kunjungan TOK DEKOR ke Gelanggang Seni Silat Pongok, Kg. Kua.
14 Ogos 2026 - Jumaat
Alhamdulillah, kunjungan muhibah Tok Dekor Terengganu ke Gelanggang Seni Silat Pongok, Kampung Kua telah berlangsung dengan penuh bermakna dan bersemangat.
Kehadiran disambut mesra oleh TG Pok Loh, pesilat, serta penduduk setempat. Pertemuan ini bukan sekadar memenuhi jemputan, malah menjadi wadah penting dalam menyatakan sokongan padu demi memartabatkan seni persilatan Melayu Terengganu agar terus terpelihara di bumi berkat ini. Semoga jalinan silaturahim ini terus kukuh dan usaha murni mempertahankan warisan pusaka nenek moyang ini mendapat keberkatan berterusan.
10/08/2026
Ziarah Kasih, Menjunjung Budi Pendekar Terengganu
10 Ogos 2026 - Isnin
Alhamdulillah, jemaah Tok Dekor Terengganu bersama Us. Hazri bin Jusoh selaku Biro Kebajikan & Dakwah Pesaka Negeri Terengganu telah turun padang menziarahi guru-guru lama Persilatan Melayu Terengganu yang jasa dan pengorbanannya tidak pernah dilupakan. Walaupun ada di antara guru-guru yang kini diuji keuzuran, kunjungan ini sedikit sebanyak membawa sinar kegembiraan dan semangat baharu buat mereka. Bertukar khabar berita dan bertentang mata secara langsung nyata mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan barisan pendekar Melayu Terengganu.
Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan-Nya, memperpanjangkan jalinan kasih sayang sesama muslim, dan usahasama murni ini terus kekal subur pada masa hadapan. Moga Allah SWT senantiasa mengurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan buat guru-guru semua. Aamiin YRA.
08/08/2026
8 Ogos 2026 - Sabtu
Alhamdulillah, Tok Dekor Terengganu berkesempatan masa memenuhi jemputan Majlis Walimatulurus anakanda TG Ayah Long Nawi (Persatuan Silat Seri Nilam) di Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya. Mendoakan semoga berkekalan bahagia hingga akhir hayat buat kedua pasangan mempelai yang diraikan.
Sejurus menyantuni jemputan TG Ayah Long Nawi, rombongan Tok Dekor Terengganu terus bergerak ke Taman Awam Kerteh, Kemaman bagi menyaksikan Kejohanan Silat Dini, Pra Dini & Pemilihan Remaja 1S1S Peringkat Negeri Terengganu 2026 anjuran BIRO TEKNIKAL TERENGGANU dan BIRO 1SEKOLAH 1SILAT serta Pesaka Negeri Terengganu. Menyaksikan bakat-bakat baru pesilat yang berjaya dicungkil untuk Negeri Terengganu. Kemeriahan sorakan gembira perwakilan anak-anak muda yang menyertai kejohanan kali ini dapat dirasai bahangnya. Tahniah kepada Sang Juara yang terpilih dan juga penganjur Kejohanan kali ini.
05/08/2026
MEMPERKUKUH SILATURAHIM, MENYATUKAN RUMPUN PENDEKAR
Alhamdulillah, kunjungan muhibah dan ziarah silaturahim Tok Dekor Terengganu ke Gelanggang Gerak Tempur Belebat di Padang Kemunting yang dipimpin oleh "Guru Ropi" & "Guru Sedi", kedua-dua pasangan guru ini adalah adik-beradik yang memperjuangkan seni silat warisan bangsa anak tempatan.
Pertemuan bermakna ini bukan sekadar sebuah lawatan biasa, malah ia menjadi wadah penting dalam memperkukuh ikatan ukhuwah, merapatkan saf, dan membina titik persefahaman demi penyatuan pendekar Melayu, khususnya di bumi Terengganu tercinta.
Biar bertukar gelanggang, biar berlainan langkah, semangat persaudaraan Silat Melayu tetap satu akar dan satu matlamat memartabatkan warisan bangsa serta menjaga maruah adat dan seni persilatan. Semoga silaturahim yang terjalin ini terus subur dan diberkati-Nya.
"Bersatu teguh, bercerai roboh. Demi warisan pusaka bangsa, kita kukuhkan permuafakatan!"
29/07/2026
'Seluruh hidupnya adalah untuk silat'
Semoga perjuangan Allahyarham TG J***t @ Tok Bat diteruskan legasi anak melayu hingga akhir hayat.
'Seluruh hidupnya adalah untuk silat' | Harian Metro Kuala Lumpur: "Pemergiannya memang satu kehilangan besar kepada dunia silat. Sejak kecil hingga akhir hayat, seluruh hidupnya adalah untuk silat."
29/07/2026
Salam Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Abdul Ghapar Bin Abdul Majid (TG Tokbat) yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 29 Julai 2026. Tok Dekor Terengganu merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.”
Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampuni segala dosa, ditempatkan bersama-sama dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah...
18/07/2026
Festival Pentas Seni Budaya Warisan Terengganu
2 Julai 2026 Jumaat - Sungguh indah bila seni budaya kita diangkat tinggi. Terimbau semula detik-detik penuh warna di FESTIVAL PENTAS SENI BUDAYA WARISAN TERENGGANU 2026.
Setiap persembahan, setiap tarian silat, setiap busana, semuanya ada jiwa yang tersendiri. Tok Dekor Terengganu sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada saksi kehebatan seni budaya warisan negeri Terengganu. Terima kasih Persatuan Seni Silat Gerak Diam - PSSGD dll yang sudi menjemput bagi meraikan majlis yang penuh bermakna. Semoga kita semua dapat berkumpul dan bersatu lebih kuat menjulang seni budaya budaya persilatan Melayu terutamanya di Terengganu.
08/07/2026
JEJAK BERTAPAK
Pada tanah barakah hitam putih ini,
Tok Gajah pernah bertapak,
Bahaman dan Mat Kilau pernah berpencak,
Abdul Rahman Limbong membakar amarah di Padang Kacung,
Tok Ku Paloh bijak berencana bermain helah,
Tuanku Raja Zainal Abidin saksama menuturkan titah,
Tok Megat Panji Alam sebenarnya tak pernah tewas pada Tuah...!!!
AYUHHH!!!
Pendekar kecil dan besar,
tersohor atau tak didendang,
terbilang atau terbuang,
hari ini kita bersama
mempertahankan hak warisan
leluhur nenek moyang...
JANGAN SAMPAI TERLEPAS PADA PETUALANG...!!!
Gelanggang ini, gelanggang kita,
pencak dan tari kita pamerkan,
gendang bertingkah menyeruak semangat,
gong tetawak melantunkan gema perjuangan,
tempik serunai mengulek rasa semangat
jiwa pendekar,
menyusun langkah,
mengintai celah,
melepaskan jurus dan buah...
Tanah barakah hitam putih ini,
adalah saksi bertautnya kasih bersatunya hati,
mencari makna eratnya genggaman tangan persaudaraan...
dan senyum kemesraan...
Pada tanah barakah hitam putih ini,
kita tanamkan tekad keazaman.
TAK KAN HILANG JEJAK BERTAPAK
TAK KAN HILANG MELAYU DI BUMI
TAKBIR!!!
(Allahu Akbar)
Judul Puisi: Jejak Bertapak
Karya: Hj. Latib b. Ali
Nama Pena: Hj. Latib
Click here to claim your Sponsored Listing.
Location
Category
Website
Address
Terengganu Darul Iman
Kuala Terengganu